Fatimah Abdullah (kanan).
Fatimah Abdullah (kanan).
BERNAMA

SARAWAK akan mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mewujudkan semula Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan bagi menyelesaikan isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan atau dokumen pengenalan diri.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, satu pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin akan dibuat berhubung penubuhan semula jawatankuasa itu yang ditamatkan perkhidmatannya pada 2 Julai tahun lalu.

"Dengan adanya jawatankuasa ini, kita sebenarnya dapat membantu untuk menapis serta memastikan semua dokumen permohonan yang lengkap dan sahih untuk diberikan sokongan sebelum dimajukan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan KDN," katanya kepada pemberita di Kuching, hari ini.

Fatimah sebelum itu mempengerusikan mesyuarat isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan atau dokumen pengenalan diri di Sarawak di pejabatnya di sini, berkata proses itu akan memudahkan lagi kerja KDN dalam memproses permohonan itu.

Katanya, sehingga 2 Julai tahun lalu, sejumlah 717 kes permohonan untuk mendapatkan status kewarganegaraan bagi kanak-kanak di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan dimajukan oleh jawatankuasa yang ditubuhkan pada 2016 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 8:52 PM