LORI yang ditahan kerana membuang kulit durian di tempat pelupusan sampah haram. FOTO ihsan SWCorp
LORI yang ditahan kerana membuang kulit durian di tempat pelupusan sampah haram. FOTO ihsan SWCorp
Mohd Rafi Mamat


PENGUAT KUASA Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang menahan tiga lori dan dua pacuan empat roda Toyota Hilux yang membuang kulit durian di kawasan pelupusan sampah haram di Jalan Lama Bentong- Raub, kelmarin.

Pengarahnya, Sharudin Ab Hamid berkata, penahanan dilakukan dalam operasi sampah haram oleh SWCorp Bentong selepas menerima aduan orang awam.

Menurutnya, dalam operasi hampir lima jam itu, lima kes tangkapan dilakukan membabitkan tiga lori dan dua Toyota Hilux dipercayai penduduk setempat yang menjalankan perniagaan durian.

Katanya, perbuatan terbabit tidak bertanggungjawab kerana mengundang pencemaran bau serta pemandangan yang menjijikkan.

"Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) kerana bertindak membuang sisa pepejal terkawal di tempat yang tidak dibenarkan.

"Siasatan lanjut akan dijalankan bagi membolehkan tindakan mahkamah dikenakan kepada pelaku, sabit kesalahan mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap peniaga tidak hanya memikirkan keuntungan hingga mengabaikan aspek kebersihan dengan melupuskan sisa durian dengan cara salah dan mengingkari undang-undang.

"Saya berharap orang ramai dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat sekiranya melihat aktiviti membuang sampah secara haram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 11:50 AM