MRT
MRT
BERNAMA

STESEN Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh, Kampung Selamat dan Kwasa Damansara ditutup pada enam hujung minggu (Sabtu dan Ahad) mulai bulan ini, Ogos dan September bagi kerja-kerja penyelenggaraan landasan.

MRT Corp dan Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan bersama hari ini memaklumkan penutupan itu bagi melakukan kerja-kerja migrasi berkaitan pemindahan sebahagian daripada MRT Laluan Kajang (sebelum ini dikenali sebagai MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang) menjadi sebahagian Laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya).

"Penutupan stesen tersebut akan dilaksanakan pada 11,12, 25 dan 26 Julai; 8, 9, 22 dan 23 Ogos serta 5, 6,19 dan 20 Sept ini," menurut kenyataan itu.

Dengan penutupan sementara tiga stesen tersebut, tren MRT dari Kajang akan berakhir di Stesen Kwasa Sentral dan perkhidmatan gantian bas perantara percuma akan beroperasi di antara Stesen Kwasa Sentral, Stesen Sungai Buloh dan Stesen Kampung Selamat.

"Bas perantara ini tidak akan berhenti di Stesen Kwasa Damansara kerana tiada aktiviti komersial dan kawasan perumahan. Tempat letak kereta di stesen ini juga akan ditutup, justeru pengguna dinasihatkan supaya menggunakan kemudahan itu di Stesen Kwasa Sentral atau di Stesen Sungai Buloh," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, perkhidmatan bas perantara sedia ada dari Stesen Sungai Buloh dan Stesen Kampung Selamat akan beroperasi seperti biasa.

Pengguna tren yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai penutupan stesen tersebut boleh menghubungi Rapid KL di talian 03-78852585 atau talian Hotline Projek MRT di 1800-82-6868.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 1:08 PM