X
Nor Fazlina Abdul Rahim


LEMBAGA Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mensasarkan kesemua 492,000 pekebun kecil di seluruh negara akan mendapat pensijilan menerusi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) selewat-lewatnya tahun depan.

Pengerusi MPOB Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, kaedah itu perlu dilaksanakan bagi memenuhi kualiti pengeluaran sawit yang dikenakan pengimport selain meningkatkan daya saing serta memperkukuhkan imej industri sawit negara.

Menurutnya, daripada jumlah pekebun kecil berkenaan, 62,009 pekebun kecil persendirian membabitkan keluasan sawit seluas 243,666 hektar dan 231,576 pekebun kecil tersusun membabitkan keluasan 670,010 hektar sudah mendapat pensijilan MSPO.

"Jumlah keseluruhan yang sudah mendapat pensijilan adalah 293,585 orang. Untuk pekebun kecil tersusun hampir 100 peratus berjaya disijilkan berbanding pekebun kecil persendirian yang jauh ketinggalan.

"Tujuan kita mahu mensijilkan pekebun kecil bukan untuk menyusahkan atau merumitkan mereka, sebaliknya skim pensijilan MSPO antara langkah strategik bagi meningkatkan daya saing dan memperkukuhkan kmej sawit negara.

"Ia selari dengan keutamaan negara pengimport dan pengguna dunia yang semakin memberi tumpuan kepada produk pertanian yang dihasilkan melalui pengeluaran mampan dan selamat untuk pemakanan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas hadir Program Jom MSPO Bersama Pengerusi MPOB di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu di Machang hari ini.

Ahmad Jazlan turut memaklumkan, kesemua mereka perlu mendapat pensijilan sebelum kompaun dikenakan termasuk tidak boleh menjual sawit kepada pengilang.

DATUK Ahmad Jazlan Yaakub (tengah) bersama dengan sebahagian peserta pekebun kecil sawit selepas  menyampaikan sijil MSPO dan peralatan perlindungan diri (PPE). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
DATUK Ahmad Jazlan Yaakub (tengah) bersama dengan sebahagian peserta pekebun kecil sawit selepas menyampaikan sijil MSPO dan peralatan perlindungan diri (PPE). FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Untuk langkah terakhir sekiranya mereka masih lagi ingkar mendapatkan pensijilan, tindakan boleh diambil mengikut Peraturan 15 Akta MPOB mulai Januari 2022.

"Justeru, kita berharap kesemua mereka mendapat pensijilan selewat-lewatnya tahun hadapan sebelum surat peringatan dihantar kepada pekebun kecil. Kos pendaftaran untuk tujuan itu sebanyak RM135 bagi setiap hektar juga ditanggung kerajaan.

"Punca utama pekebun kecil persendirian gagal mendapat pensijilan kerana tidak mempunyai maklumat jelas berhubung perkara itu dan pihak MPOB akan menjejaki mereka bagi memberi penerangan," katanya.

Pada masa sama, Ahmad Jazlan berkata, pihaknya berusaha untuk melebarkan pasaran sawit ke negara baharu.

"Kita akan lihat pasaran baru yang belum diteroka selepas pandemik Covid-19 selesai nanti. Negara baru yang akan diteroka adalah Amerika Syarikat dan negara dari Timur Tengah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 3:12 PM