X
Zatul Iffah Zolkiply


DUA puluh lapan lelaki termasuk dua warga Indonesia masing-masing didenda sebanyak RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini selepas mengaku bersalah bermain judi sabung ayam dan berada di lokasi berkenaan.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas semua tertuduh berusia antara 20 hingga 57 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 32 (1)(a) dan Seksyen 32 (2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, empat tertuduh yang berusia 33 hingga 56 tahun didakwa secara bersama-sama bagi mencapai niat bersama didapati menyebabkan satu perlagaan haiwan iaitu ayam di gelanggang laga ayam pondok di Jalan Ibok, Air Jerneh, Kemaman pada 12 tengah hari, 3 Julai lalu.

Sementara itu, 24 lagi tertuduh berusia antara 20 hingga 57 tahun didakwa secara bersama-sama didapati hadir di tempat sabung ayam di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, semua tertuduh berdepan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah mereka direkodkan, Azman turut menetapkan hukuman denda RM20,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan terhadap empat tertuduh yang terbabit dalam aktiviti sabung ayam.

Azman juga menetapkan hukuman denda RM20,000 atau lima bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan terhadap 24 lagi tertuduh termasuk dua warga Indonesia yang hadir di lokasi berkenaan.

SERAMAI 28 lelaki termasuk dua warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini kerana terbabit dalam aktiviti dan berada di tempat judi sabung ayam. FOTO Ghazali Kori
SERAMAI 28 lelaki termasuk dua warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kemaman hari ini kerana terbabit dalam aktiviti dan berada di tempat judi sabung ayam. FOTO Ghazali Kori

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Terengganu Mohd Shahihan Mohd Tahar manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini dilaporkan polis menahan 28 lelaki selepas terbabit dengan aktiviti perjudian laga ayam di Jalan Ibok Ayer Jernih di Chukai.

Sementara itu, ada keluarga tertuduh yang hadir ke mahkamah pengsan di pekarangan premis itu dan menangis sebaik dimaklumkan hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 4:10 PM