X
JENAZAH Noor Athirah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kok Pasir, Tumpat pagi tadi. FOTO IHSAN KELUARGA
JENAZAH Noor Athirah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kok Pasir, Tumpat pagi tadi. FOTO IHSAN KELUARGA
Hazira Ahmad Zaidi


SELEPAS hampir dua bulan bertarung nyawa melawan penyakit kanser payudara yang dihidapi, Noor Athirah Mohd Ariff akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu tengah malam tadi.

Noor Athirah berusia 24 tahun yang baru melahirkan anak kedua secara pramatang disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada 12.50 tengah malam.

Allahyarham disahkan menghidap kanser payudara ketika sarat mengandung anak kedua dan ketika itu sel kanser didakwa sudah merebak ke bahagian tulang belakangnya.

Keadaan itu menyebabkan doktor mengambil keputusan agar bayi dalam kandungannya yang berusia lapan bulan ketika itu dilahirkan melalui pembedahan bagi menyelamatkan kedua-dua nyawa.

Lebih terharu apabila Allahyarham Noor Athirah sempat meminta suaminya, Muhammad Hairi Ramli, 27, membawa dua anak mereka iaitu Muhammad Hairil Hafsya, 2, dan Muhammad Haidil Haziq yang kini sudah berusia hampir dua bulan ke hospital kerana mahu menatap wajah mereka.

Muhammad Hairi berkata, sejak beberapa hari lalu keadaan isterinya semakin lemah dan disebabkan tidak mampu bercakap mereka hanya berkomunikasi menggunakan nota yang ditulis dan ketika itulah Allahyarham meluahkan kerinduannya kepada dua anaknya yang sudah lama tidak berjumpa.

"Sepatutnya arwah dibenarkan berjumpa dengan anak-anak esok selepas mendapat kebenaran daripada doktor yang merawatnya, namun arwah merayu supaya saya membawa dua anak kami berjumpa dengannya lebih awal seolah-olah seperti mengetahui masanya sudah sampai.

"Bagi memenuhi permintaan arwah, saya berbincang dan meminta kebenaran daripada doktor serta jururawat dan semalam saya membawa Muhammad Hairil Hafsya dan Muhammad Haidil Haziq ke hospital, namun pada ketika itu arwah sudah tidak mengenali sesiapa yang mendekatinya.

"Walaupun sedih arwah tidak sempat menatap wajah anak kedua kami yang baharu dilahirkan namun saya bersyukur kerana dapat memenuhi permintaannya buat kali terakhir," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, selepas 46 hari isterinya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPZ II, Noor Athirah dipindahkan ke wad biasa selepas keadaannya semakin stabil selain menunjukkan perubahan positif dan pada masa sama akan menjalani rawatan kimoterapi untuk mematikan sel kansernya.

"Mengikut perancangan doktor, arwah sepatutnya menjalani rawatan kimoterapi pada minggu ini namun disebabkan mengalami demam, rawatan berkenaan terpaksa ditangguhkan.

"Namun Allah SWT lebih menyayanginya kerana dia tidak sempat menjalani sebarang rawatan untuk mengubati penyakit yang dihidapinya. Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah," katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kok Pasir, Tumpat pada 10 pagi hari ini.

Muhammad Hairi berkata, bagi memudahkan urusan menjaga anak bongsu yang baru dilahirkan, ibunya, Hazimah Harun, 50, kini tinggal bersamanya untuk menguruskan segala keperluan.

Menurutnya, anak sulungnya pula dijaga oleh ibu mentua yang tinggal di Kampung Kok Keli, Tumpat.

"Saya perlu menguatkan semangat untuk menjaga dan membesarkan amanah yang ditinggalkan oleh arwah. Kini saya jugalah ayah dan ibu kepada dua anak kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 4:14 PM