X
FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

BEKAS Pegawai Tadbir Kanan di International Council For Scientific Union-Regional Office For Asia Pacific (ICSU-ROAP) dihukum penjara empat bulan dan didenda RM231,200 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini kerana memperdayakan majikannya berhubung borang permohonan wang pendahuluan palsu bernilai RM46,240, empat tahun lalu.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Hizamddin Jaafar ,46, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Mahkamah turut memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara 12 bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Mohd Hizamddin didakwa sebagai pegawai tadbir kanan di ICSU-ROAP memperdayakan majikannya iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia dengan satu dokumen borang permohonan wang pendahuluan bertarikh 6 Oktober 2016 bernilai RM46,240 yang mengandungi butiran palsu iaitu permohonan wang pendahuluan sebagai pembayaran kepada peserta kursus yang menghadiri '5th International Workshop On Psychological Intervention After Disaster (5th PIAD)' pada 14 hingga 17 November 2016 di Manila, Filipina.

Permohonan wang pendahuluan itu kononnya disempurnakan sedangkan tiada pembayaran dilakukan olehnya kerana ia hanya untuk mengelirukan majikannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di ICSU-ROAP, Akademi Sains Malaysia pada 6 Oktober 2016 mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan yang dapat dinilai atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin daripada SPRM memohon hukuman penjara dan denda dengan mengambil kira ianya telah termaktub dalam Akta SPRM.

"Tertuduh menggunakan kedudukannya untuk memperdayakan majikannya, paling penting dia telah merancang dan memikir kesan dan habuan yang tertuduh dapat. Akhirnya, dia berjaya dan telah merugikan majikannya," katanya.

Peguam Adenan Ismail yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya merupakan penghidap HIV positif dan memerlukan rawatan susulan di hospital.

"Anak guam saya kini tidak bekerja dan menanggung ibunya, maka saya memohon hukuman ringan terhadapnya," katanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh bertugas sebagai pegawai tadbir kanan di ICSU-ROAP dengan Gred 48 di Akademi Sains Malaysia.

Tertuduh telah menyediakan satu borang permohonan wang pendahuluan serta mengisi maklumat dalam borang berkenaan bertarikh 6 Oktober 2016 dan dia telah tandatangan pada bahagian pengakuan permohonan kemudian menurunkan tandatangan palsu pada bahagian pengesahan Ketua Unit/Pegawai yang bertanggungjawab atas nama Prof Mohd Nordin Hasan.

Dia juga tidak pernah membuat bayaran kepada peserta dan telah memperdayakan majikannya berkaitan borang permohonan wang pendahuluan yang mengandungi butiran palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 4:26 PM