KOTAK berisi minyak masak yang cuba diseludup tetapi dikesan PGA7 dalam kejadian di Kampung Parit Air, di sini, hari ini. FOTO ihsan PGA7
KOTAK berisi minyak masak yang cuba diseludup tetapi dikesan PGA7 dalam kejadian di Kampung Parit Air, di sini, hari ini. FOTO ihsan PGA7
Syaherah Mustafa


DUA lelaki warga Thailand yang dipercayai cuba menyeludup 170 kilogram (kg) minyak masak ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Parit Air di Rantau Panjang hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Superintendan Azhari Nusi berkata, mereka itu dikesan dalam kejadian 2 pagi oleh anggota pasukannya ketika membuat rondaan berkereta.

Menurutnya, pihaknya terserempak dengan sebuah van dalam keadaan mencurigakan sebelum menahannya untuk pemeriksaan.

Katanya, pihaknya kemudiannya meminta dokumen perjalanan daripada dua lelaki yang berada dalam kenderaan terbabit tetapi mereka yang berusia 24 dan 42 tahun itu gagal mengemukakan sebarang pengenalan diri.

"Hasil soal siasat mendapati mereka berasal dari Narathiwat, Thailand dan masuk ke negara ini tanpa sebarang dokumen sah.

"Selain itu, pemeriksaan dalam van turut menemui kotak yang berisi minyak masak yang dipercayai untuk diseludup.

"Pengakuan awal kedua-dua suspek mengaku terbabit secara langsung selain bergiat aktif dalam penyeludupan keluar dan masuk barangan bersubsidi di Pengkalan Haram Kak Mah di sini.

"Anggota pasukannya menahan kedua-dua lelaki itu serta merampas minyak masak terbabit untuk diserahkan ke Balai Polis Rantau Panjang bagi diambil tindakan lanjut," katanya.

Azhari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigrisen 1959/63 dan Seksyen 10(1)(a) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 4:40 PM