MOHAMAD Nor Saifuddin (tengah) menerima sumbangan dari juruiring, Brigedier Jeneral Zahari Mohamad Ariffin yang mewakili Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di khemahnya di hutan lipur Pasir Panjang, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
MOHAMAD Nor Saifuddin (tengah) menerima sumbangan dari juruiring, Brigedier Jeneral Zahari Mohamad Ariffin yang mewakili Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di khemahnya di hutan lipur Pasir Panjang, Port Dickson. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

"SAYA terharu kerana mendapat perhatian ramai pihak malah wakil dari Istana Negara turut datang menziarah," kata bekas tentera, Mohamad Nor Saifuddin Abdullah, 44, yang tinggal di khemah pinggir hutan lipur di Kampung Teluk, Pasir Panjang, Port Dickson.

Kisahnya turut menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mewakilkan juruiring baginda, Brigedier Jeneral Zahari Mohamad Ariffin menyampaikan sumbangan ampun kurnia kepadanya.

Mohamad Nor Saifuddin atau dikenali Din Iban berkata dia terharu dengan keprihatinan baginda yang simpati dan mengarahkan wakil baginda menyampaikan sendiri sumbangan kepadanya.

"Peristiwa ini akan menjadi sejarah peribadi kepada saya kerana mendapat perhatian pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangkap Agong sendiri.

"Lawatan ini benar-benar memberi kekuatan kepada saya apabila dimaklumkan yang baginda mengambil berat selepas terbaca kisah saya, terima kasih Tuanku...," katanya.

Din Iban berkata, dia juga berterima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) yang banyak membantunya.

"Saya kerap dilawati Pengarah JHEV Negeri Sembilan dan Melaka, Mejar Norasbi Said serta pegawainya yang mengambil berat walaupun kini sudah bekerja sebagai pengawal keselamatan di Akademi Pembangunan Belia dan Negara tidak jauh dari sini.

"Saya juga tidak hadapi masalah dengan pihak keselamatan termasuk polis dan juga penduduk sekitar dan saya selesa tinggal di sini berdekatan dengan laut untuk mencari rezeki tambahan.

"Saya juga dimaklumkan pihak JHEV mahu meletakan kabin bagi menggantikan khemah untuk sementara waktu dan kemungkinan saya akan berpindah jika berkahwin satu hari nanti," katanya yang mahir bermain pelbagai jenis alat muzik.

Berita berkaitan

Din Iban contoh yang baik - KP JHEV

Bekas askar tinggal di khemah demi anak

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 5:10 PM