X
KERJASAMA antara Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dan pihak berkuasa di Malaysia dalam membantu warga Bangladesh yang terkesan dengan PKPD di Malayan Mansion, Selangor Mansion dan Plaza City 1, contoh permuafakatan baik antara kedua-dua negara. FOTO Asyraf Hamzah
KERJASAMA antara Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dan pihak berkuasa di Malaysia dalam membantu warga Bangladesh yang terkesan dengan PKPD di Malayan Mansion, Selangor Mansion dan Plaza City 1, contoh permuafakatan baik antara kedua-dua negara. FOTO Asyraf Hamzah
BERNAMA

KERAJAAN Bangladesh menghargai inisiatif Malaysia mencari penyelesaian terhadap masalah dihadapi pekerja migrannya di negara ini, kata Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia.

Dalam kenyataan kepada Bernama, inisiatif itu, termasuk penempatan semula pekerja ke syarikat lain serta menyediakan peluang untuk mengesahkan tahanan dan pekerja tanpa dokumen sah, dan ini jelas memperlihatkan hasrat murni kerajaan Malaysia terhadap pekerja asing di sini.

"Warganegara kita yang menetap di Malaysia berterima kasih atas bantuan dan inisiatif yang dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk inisiatif baru-baru ini," katanya.

Katanya, kerajaan Bangladesh turut menghargai keazaman Malaysia dalam memerangi dan membendung pandemik Covid-19.

Kerjasama antara kedua-dua pihak banyak membantu Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Malaysia memastikan warganegaranya selamat ketika berada di Malaysia.

"Malaysia sangat proaktif dalam usaha membendung Covid-19. Menggalakkan semua orang termasuk warga asing, tampil menjalani saringan. Warga asing yang didapati positif akan ditempatkan di pusat kuarantin yang disediakan," katanya.

Suruhanjaya Tinggi berkata, selain sentiasa berhubung dengan jabatan yang berkaitan di Malaysia, pihaknya menerima maklum balas positif semasa berkunjung ke hospital dan pusat tahanan untuk memberikan perkhidmatan konsular.

Kerjasama antara Suruhanjaya Tinggi itu dan pihak berkuasa di Malaysia dalam membantu warga Bangladesh yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Malayan Mansion, Selangor Mansion dan Plaza City 1, contoh permuafakatan baik antara kedua-dua negara.

Ia membolehkan warga Bangladesh yang terkandas dibawa pulang ke negara asal selama tempoh Covid-19. Usaha itu masih berjalan.

Selain itu katanya, pihaknya sangat menghargai hubungan dua hala yang erat dan konsisten dinikmati kedua-dua negara dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pendidikan, budaya, sains dan teknologi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 6:02 PM