DATUK Saarani Mohamad (dua kanan) melawat gerai jualan di Kompleks Desa Warisan IGROW, Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah di Bota, hari ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
DATUK Saarani Mohamad (dua kanan) melawat gerai jualan di Kompleks Desa Warisan IGROW, Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah di Bota, hari ini. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi


KERAJAAN Perak bakal mengadakan Karnival Usahawan di 20 lokasi di setiap daerah di negeri ini bagi membantu usahawan yang terjejas pasca pandemik Covid-19 bermula 17 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saarani Mohamad berkata, lokasi pertama karnival itu akan diadakan di Arena Lawit, Lenggong selama tiga hari hari iaitu Jumaat hingga Ahad.

Menurutnya, karnival itu akan mengumpulkan sekurang-kurangnya 40 peniaga atau lebih namun ia bergantung kepada saiz ruang arena yang akan digunakan nanti.

"Kami akan jemput semua usahawan datang ke sana. Tidak perlu keluarkan wang untuk kemudahan, hanya bawa barang jualan jadi keuntungan dapat dekat dia (peniaga) sepenuhnya.

"Setiap daerah ada arena square, jadi kita bincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT). Ada sedikit kos kita perlu bayar iaitu kos pekerja menjaga kebersihan kawasan serta kos lampu (elektrik) dan air," katanya selepas Majlis Lawatan Kerja dan Anugerah Penghargaan Media Program Storytelling Advertising Strategy (STAR)/IGROW di Kompleks Desa Warisan IGROW, Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah di Bota, Perak, tadi.

Katanya, usaha itu dilakukan melalui peruntukkan tahunan yang diberikan kerajaan negeri kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk membiayai program aktiviti usahawan.

"Peruntukkan setiap tahun itu untuk biayai program lawatan atau kita bawa usahawan pergi ke karnival luar tetapi tahun ini kita tak pergi.

"Duit itu kita gunakan sepenuhnya untuk karnival dalam negeri. Semua ini untuk membantu usahawan yang terkesan, nak tunggu pelanggan datang ke premis mungkin lambat jadi kita bawa mereka keluar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 6:21 PM