LAPORAN portal berita Harian Metro 7 Julai lalu.
LAPORAN portal berita Harian Metro 7 Julai lalu.
Norzamira Che Noh


POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai memandu kereta secara melawan arus dari Jalan Meru, Batu 5 berhadapan restoran makanan segera di Klang Sentral, Klang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan pada 5.30 petang semalam di kediamannya di Petaling Jaya, Selangor oleh sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Utara.

"Polis turut merampas kereta Kia Cerato digunakan lelaki itu dalam kejadian terbabit.

"Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu dalam perjalanan pulang ke Petaling Jaya selepas berjumpa rakan dan tidak arif dengan selok belok di kawasan dan jalan serta menggunakan aplikasi Waze sebagai tunjuk arah jalan.

"Pemandu itu cemas apabila tersalah masuk lorong dan terus memandu melawan arus," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, ujian awal saringan air kencing mendapati lelaki terbabit negatif dadah.

Katanya, ujian alkohol tidak dilakukan kerana tarikh kejadian sudah melebihi 40 jam dari tarikh tangkapan dan tidak berkesan untuk menguji kandungan alkohol.

"Lelaki itu kini direman selama satu hari untuk siasatan lanjut kes mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Terdahulu, kejadian 10.50 malam Isnin lalu, tular di Facebook satu video berdurasi satu minit 30 saat menunjukkan kereta berwarna putih dipandu secara melawan arus.

Berita berkaitan

'Polis cari pemandu kereta lawan arus [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 11:18 PM