X
Mohd Amin Jalil


SPEAKER Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Zulkefly Mohd Omar mengesahkan menerima surat makluman berhubung peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Rahang, Mary Josephine sebagai ahli DAP Negeri Sembilan sekali gus menjadi ADUN Bebas pertama di Negeri Sembilan.

Katanya, beliau menerima surat berkenaan pagi tadi di pejabatnya yang dihantar oleh pegawai ADUN terbabit.

"Kita menghormati keputusan beliau walaupun sebagai ADUN Bebas tetapi beliau menyatakan tetap akan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan.

"Beliau hanya meletakkan semua jawatan dalam parti DAP sahaja, jadi tiada PRK (Pilihan Raya Kecil)," katanya di Seremban, hari ini.

Sementara itu, dalam surat peletakan jawatan berkenaan, Mary Josephine menyatakan peletakan jawatannya berkuatkuasa hari ini.

Beliau menyatakan sokongan dan keyakinan terhadap kepemimpinan Menteri Besar yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan.

"Saya masih mempunyai keyakinan ke atas kepimpinan YAB Datuk Seri untuk pentadbiran kerajaan PH Negeri Sembilan.

"Saya akan terus memberi sokongan ke atas kepemimpinan Datuk Seri sebagai ADUN bebas," katanya.

MARY menunjukkan surat peletakan jawatan sebagai ahli DAP. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
MARY menunjukkan surat peletakan jawatan sebagai ahli DAP. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 12:44 PM