X
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman

UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) bersedia untuk menerima kembali kemasukan penuntut termasuk penuntut antarabangsa ke kampus secara berperingkat mulai bulan ini.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, pihaknya sudah membuat persediaan rapi lebih awal dan akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP)seperti ditetapkan kerajaan.

Katanya, sejak penuntut dibenarkan pulang pada April lalu, universiti menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan ia akan tetap diteruskan sehingga akhir tahun meskipun penuntut sudah dibenarkan kembali ke kampus nanti.

"Bagi pelajar antarabangsa pula mereka akan mengikuti SOP yang ditetapkan sebelum masuk ke Malaysia, malah mereka juga akan jalani saringan kesihatan di pintu masuk negara, seterusnya menjalani 14 hari kuarantin di dalam kampus nanti.

"Pihak universiti sudah menyediakan lokasi kuarantin dan dijangka menggunakan tempat yang sama seperti sebelum ini untuk kemasukan kira-kira 1,000 pelajar antarabangsa nanti.

"UUM juga akan membantu pelajar antarabangsa ini untuk pulang ke kampus dengan menyediakan bas di pintu masuk utama negara. Ini bagi memastikan tiada interaksi berlaku sepanjang tempoh perjalanan pulang ke kampus," katanya dalam kenyataan di Sintok, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Bashawir berkata, dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19, universiti menerusi Pusat Kesihatan Universiti dan UUMIT membangunkan dua aplikasi baharu iaitu Covid-19 Daily Self Assessment (CODSA) dan MyQR UUM.

Pihaknya turut bekerjasama dengan TM Berhad dengan menggunakan sistem pengimbas kesihatan atau Health-Screening System (HSS) yang juga merekodkan kehadiran kakitangan dan penuntut.

Kelmarin, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata kementeriannya membenarkan kemasukan empat kategori lagi pelajar untuk kembali ke kampus secara berperingkat mulai bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 1:23 PM