SENJATA yang digunakan suspek dalam kejadian samun di Bandar Tenggara, Kota Tinggi, semalam. FOTO Ihsan PDRM
SENJATA yang digunakan suspek dalam kejadian samun di Bandar Tenggara, Kota Tinggi, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Omar Ahmad


SEORANG pekerja kedai perabot warga Pakistan menerima 11 jahitan di kepala ditetak penjenayah dalam kejadian samun di Bandar Tenggara, Kota Tinggi, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa berusia 41 tahun itu cedera ditetak dengan parang oleh suspek sebelum melarikan wang RM300 dari laci di premis perniagaan itu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, susulan kejadian itu mangsa menerima rawatan di sebuah klinik swasta berdekatan.

Katanya, susulan laporan polis dibuat mangsa, pihaknya berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki berusia 27 tahun di Felda Sungai Sibol, Bandar Tenggara sejam kemudian.

"Ketika tangkapan dibuat, polis turut rampas motosikal dan parang yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah itu.

"Semakan mendapati suspek memiliki dua rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah. Saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 16 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 2:28 PM