KEADAAN salah seorang mangsa. FOTO Ihsan Polis
KEADAAN salah seorang mangsa. FOTO Ihsan Polis
Zuliaty Zulkiffli


DUA penunggang maut dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggang mereka berlanggar di Jalan Sungai Tiang, Pendang, hari ini.

Mangsa, Muhammad Ammar Hakimi Ariffin, 16, dari Kampung Sawa Kechil dan Ja'afare Hanaffi, 49, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami ketika kemalangan 1.50 petang itu.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Remaja berusia 16 tahun itu adalah pelajar Sekolah Vokasional di Perlis manakala Ja'afare pula adalah seorang pekebun.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika remaja terbabit datang dari arah Sungai Tiang dipercayai masuk ke laluan sebuah lagi motosikal yang datang dari arah Kampung Baru.

"Akibat perlanggaran itu, motosikal yang ditunggangi remaja itu tercampak ke dalam kawasan semak di sebelah kanan jalan manakala seorang lagi mangsa tertiarap di atas jalan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu boleh tampil membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 9:16 PM