Gambar fail, Jalan Gombak. FOTO NSTP.
Gambar fail, Jalan Gombak. FOTO NSTP.
Norzamira Che Noh


SELANGOR terus mencatat perkembangan positif dalam pengurangan kes jangkitan baharu Covid-19 apabila Gombak memasuki zon hijau, semalam.

Perkembangan terbaharu itu menjadikan enam daripada sembilan daerah bebas wabak berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter meminta penduduk untuk terus mengamalkan langkah pencegahan Covid-19 secara serius.

"Enam kes (semalam) adalah kes import iaitu tiga dari Indonesia dan masing-masing satu kes dari India, United Kingdom dan Russia. Alhamdulillah, Gombak sudah bertukar ke zon hijau.

"Tahniah Selangor lebih banyak zon hijau dicapai, enam daerah sudah diklasifikasi sebagai zon hijau. Kekalkan disiplin, virus masih belum terhindar sepenuhnya hingga vaksin ditemui," katanya semalam.

Sebelum ini, Gombak daerah ketiga di negeri itu yang merekodkan jangkitan tinggi iaitu 260 kes selepas Hulu Langat dan Petaling.

Tiga lagi daerah zon kuning iaitu Petaling dengan dua kes aktif, sementara Hulu Selangor dan Sepang masing-masing satu kes.

Secara keseluruhan, Selangor merekodkan 2,076 kes dengan 1,883 daripadanya sudah sembuh, manakala kematian kekal 24 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 9:39 AM