LAPORAN Portal Harian Metro
LAPORAN Portal Harian Metro
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS masih mengesan editor buku yang menimbulkan kontroversi selepas gambar pada kulit buku berkenaan dikatakan menghina logo Jata Negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, setakat ini pihaknya sudah merakam keterangan pelukis, penerbit dan pencetak buku berkenaan.

"Proses merakam keterangan beberapa penulis yang menyumbang artikel untuk buku berkenaan akan dilakukan dalam masa terdekat.

"Bagaimanapun, kita masih berusaha mengesan editor buku terbabit," katanya ketika ditemui di Bukit Aman, semalam.

Katanya lagi, siasatan berhubung penerbitan buku berkenaan dimulakan sejak 29 Jun lalu susulan beberapa laporan polis yang diterima daripada pelbagai pihak di seluruh negara.

"Siasatan mendapati sebanyak 1,000 naskah sudah dicetak dan kita sudah merampas 313 naskah baki buku yang belum terjual.

"Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut membuat rampasan sebanyak 233 naskah buku berkenaan," katanya.

Untuk rekod, siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Buku Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope yang disunting oleh penulis, Kean Wong itu mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara mendapat perhatian kerana menggunakan gambar yang dikatakan menghina Jata Negara.

Perkara itu menimbulkan pelbagai reaksi selepas ia tersebar di media sosial.

Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik membuat laporan polis dan menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap pihak terbabit.

Berita berkaitan

10 laporan polis kes hina Jata Negara

Tidak kompromi tindakan hina Jata Negara

Polis panggil pihak berkaitan buku hina Jata Negara

  • Lagi berita berkaitan PRK DUN Chini
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 11:37 AM