X
INTAN Amira menunjukkan gula enau yang akan dihantar kepada pelanggan. FOTO Amran Yahya
INTAN Amira menunjukkan gula enau yang akan dihantar kepada pelanggan. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


BERMULA dengan sekadar suka-suka, kini seorang suri rumah mampu menjana pendapatan lumayan dengan mempromosi sambil menjual gula enau di media sosial.

Kisahnya pernah disiarkan di Harian Metro ketika dia mempromosikan gula enau dalam dialek Negeri Sembilan dan mendapat sambutan ramai.

Intan Amira Marzuhidin, 30, berkata, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, dia perlu melakukan sesuatu untuk menjana pendapatan.

"Pada awalnya saya hanya fokus berniaga ketika PKP saja namun permintaan semakin bertambah sehingga ke hari ini.

"Tidak dinafikan ketika PKP ramai kehilangan punca pendapatan dan terpaksa melakukan sesuatu untuk meneruskan kelangsungan hidup. Tambahan PKP berlaku pada Ramadan dan Syawal.

"Bagaimanapun, semua itu berkurangan apabila arahan PKP dilonggarkan dan tiada lagi pembayaran tunai semasa serahan (COD) ke rumah.

"Namun bagi saya pula, PKP adalah landasan permulaan kami sekeluarga menceburi perniagaan malah masih berterusan sehingga hari ini sebagai punca pendapatan," katanya ketika ditemui di Kampung Sawah Lebar Seberang, Kuala Pilah.

Wajah Intan Amira yang mirip kacukan dan pernah dilabelkan sebagai budak 'Negeri Sembilan Celup' ketika mempromosikan gula enau dalam laman sosial berkata, kini produk 'Gulo Anau Waghih' miliknya menembusi pasaran seluruh Malaysia.

"Kini saya mempunyai sembilan stokis dan 20 ejen di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak. Bagaimanapun, beberapa individu dari Sabah dan Sarawak berminat untuk menjadi stokis dan perbincangan sedang giat dilakukan dengan mereka.

"Selain itu, saya juga sedang berbincang dengan beberapa pasar raya yang berminat membantu menjual Gulo Anau Waghih dan sekiranya terlaksana, ia adalah rezeki buat saya," kata anak jati Kuala Pilah ini.

Intan Amira yang menetap di Seremban bersama suami, Mohd Iskandar Md Akram, 32, serta dua anak lelakinya, Hang Tuah, 6, dan Hang Jebat, 2, berkata, kini dia berulang-alik demi memenuhi permintaan pelanggannya.

"Dua hari sekali saya akan pulang ke Kuala Pilah untuk mengambil gula enau dari pembekal di Juasseh.

"Alhamdulillah, sehingga kini, pembekal masih mampu memenuhi jumlah yang saya perlukan walaupun bilangannya agak banyak.

"Tidak dinafikan ada beberapa pengusaha gula enau menawarkan untuk menjadi pembekal namun buat masa ini saya terpaksa menolak kerana bimbang kualitinya berbeza dengan Gulo Anau Waghih yang dijamin dan 'ori' (asli) dan semakin disukai.

"Bagaimanapun, sekiranya produk mereka diperlukan, saya terpaksa melihat dan meneliti terlebih dulu kualitinya terjamin selain memberi peluang kepada saya memasarkan produk mereka," katanya.

Intan Amira berkata, jika dulu penggunaan gula enau adalah bermusim namun berbeza dengan sekarang.

"Dulu gula enau begitu popular terutama untuk juadah berbuka puasa seperti pengat, bubur, buah Melaka (onde-onde) dan macam-macam lagi tetapi sekarang ia makin popular sebagai perisa tambahan di dalam masakan seharian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 12:24 PM