GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Zuhainy Zulkiffli


SEORANG remaja ditahan polis selepas didapati memandu melawan arus secara berbahaya dan cuba melarikan diri dalam kejadian di Bukit Minyak, Bukit Mertajam, semalam,

Remaja yang juga mekanik dari Bukit Indra Muda, Kubang Semang itu, ditahan anggota peronda di kawasan itu pada 10 malam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, suspek yang memandu kereta Perodua Kancil sebelum itu didapati tidak berhenti di lampu isyarat di Jalan Perindustrian Bukit Minyak.

Katanya, anggota bertugas kemudian mengejar kereta suspek dan memintanya memberhentikan kenderaan namun tidak diendahkan.

"Suspek kemudian terus melarikan diri dengan memandu kenderaan secara berbahaya dan melawan arus di jalan besar Bukit Minyak sebelum berjaya dipintas anggota bertugas.

"Ketika polis mahu memeriksa kenderaan itu, suspek kemudian mengundurkan kenderaannya dan cuba melarikan diri ke arah bertentangan menuju ke Permatang Tinggi," katanya kepada NSTP, hari ini.

Mengulas lanjut, Shafee berkata, ketika polis mengejar kenderaan itu, suspek membuat pusingan dan mahu melarikan diri namun bertembung dengan kereta polis.

Katanya, pemeriksaan terhadap suspek tidak menjumpai sebarang bahan yang menyalahi undang-undang.

"Siasatan awal mendapati suspek melarikan diri kerana enggan memberi kerjasama kepada pihak polis bagi mengelak disaman.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan," katanya

habis

From: Nini

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 2:31 PM