SHAMSUL Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan yang dikumpulkan kepada Mohd Jazmi. (tiga dari kiri). FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SHAMSUL Ahmad (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan yang dikumpulkan kepada Mohd Jazmi. (tiga dari kiri). FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


"INSYA-ALLAH anak saya akan kembali sihat seperti sedia kala," itu harapan Mohd Jazmi Ramli, 45, mengenai anak perempuannya, Farah Husna, 16, yang masih koma sejak lebih sebulan lalu susulan mengidap sakit kepala berpanjangan kesan dari gumpalan salur darah di otak atau Arteriovenous Malformation (AVM).

Farah Husna, pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Sains Raja Tun Azlan Shah (SERATAS) di Taiping, dikesan menghidapi penyakit itu sejak awal Jun lalu yang sehingga kini masih dirawat di Hospital Taiping serta menjalani empat pembedahan sepanjang koma bagi membaiki salur darah di bahagian berkenaan.

Mohd Jazmi berkata, dia bagaimanapun bersyukur memandangkan nasib menimpa anaknya mendapat perhatian Persatuan Alumni SERATAS yang menyumbangkan sebanyak RM9,200 bagi membiayai keperluan perubatan susulan bagi anak sulungnya itu hanya sempat menjalani persekolahan di SERATAS kira-kira dua minggu.

"Anak saya mula bersekolah di SERATAS kira-kira dua minggu sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) fasa 1 dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu, sejurus selepas ditawarkan bertukar dari sekolah lama.

"Bagaimanapun penyakitnya mula disahkan pada 6 Jun lalu iaitu sebaik mula pengsan dan mengalami muntah-muntah," katanya ketika ketika ditemui selepas menerima kunjungan wakil Persatuan Alumni SERATAS, Datuk Shamsul Ahmad serta di sebuah kopitiam di Taiping, hari ini.

Kunjungan Persatuan Alumni SERATAS itu turut dihadiri dua badan bukan kerajaan (NGO), MyFund Action serta My Heart untuk menyampaikan sumbangan kepada Mohd Jazmi.

Hadir sama, Pengerusi MyHeart, Dr Ahmad Luqman Ahmad Shuhaili serta Ketua Perhubungan Awam MyFundAction, Siti Nabihah Zakaria.

Mohd Jazmi berkata, dia bernasib baik kerana hampir seluruh kos pembedahan ditanggung oleh kerajaan, selain surat jaminan membiayai rawatan anaknya itu yang dikeluarkan oleh SERATAS untuk melangsaikan lebihan bayaran yang dikenakan memandangkan dia hanya bekerja sebagai pemandu van syarikat swasta, selain isteri tidak berkerja.

"Bagaimanapun ada juga kos lain yang perlu ditanggung sendiri seperti susu khas berharga RM89 setin yang dapat bertahan dalam sehari, selain lampin pakai buang dan sebagainya. Dengan pendapatan kira-kira RM1,900 sebulan, saya juga perlu menyara dua lagi anak yang turut bersekolah.

"Saya yakin anak saya akan sembuh, namun sehingga kini doktor masih belum memberi kata putus sama ada pembedahan akan dijalankan lagi atau sebaliknya, termasuk bila dia akan katanya sedar dari koma dan dibenarkan keluar dari hospital," katanya.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, sebanyak RM27,600 wang sumbangan berjaya dikumpulkan daripada kalangan ahli persatuan itu sejak kutipan mula dibuat sejak sebulan lalu.

Katanya, lebihan daripada sumbangan itu akan disalurkan sama rata kepada dua lagi penerima iaitu seorang bekas pelajar SERATAS berusia 17 tahun yang mengalami strok pada otak kiri sejak tiga tahun lalu di samping anak seorang daripada alumni SERATAS yang mengalami kecederaan saraf tunjang susulan kemalangan.

"Alhamdulillah sumbangan yang dikutip bagi membantu tiga keluarga itu melebihi sasaran iaitu RM20,000, biarpun boleh dikatakan hampir semua penyumbang terdiri daripada alumni SERATAS melalui hebahan di kumpulan Facebook, WhatsApp dan sebagainya.

"Selepas Mohd Jazmi, kita bersama dengan dua NGO terbabit akan menyantuni dua lagi penerima terbabit iaitu masing-masing menetap di Bagan Serai serta Gopeng, Perak," katanya.

Sementara itu, Dr Ahmad Luqman berkata, bantuan perubatan kepada ketiga-tiga pesakit berkenaan akan disalur melalui klinik bergerak MyHeart secara bulanan selain turut menerima set kotak Rezeki Ummat yang mengandungi barang makanan asas.

"Selain itu, barangan tambahan seperti lampin pakai buang atau susu khas serta keperluan kesihatan yang lain turut akan diberikan sekiranya memerlukan, bergantung kepada keadaan dan keperluan sebenar pesakit iaitu selepas tinjauan NGO kami dilakukan di kediaman mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 3:05 PM