Ismail Sabri Yaakob (kanan).
Ismail Sabri Yaakob (kanan).
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PENTADBIRAN sekolah perlu menyusun jadual pentaksiran pusat mengikut kesesuaian berdasarkan takwim peperiksaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersetuju dengan pembentangan KPM mengenai garis panduan pengurusan pentaksiran.

"Antara kandungan garis panduan yang dipersetujui termasuk pentadbir sekolah perlu menyusun jadual pentaksiran pusat mengikut kesesuaian berdasarkan takwim peperiksaan dikeluarkan KPM.

"Guru perlu merancang pelaksanaan pentaksiran pusat berdasarkan kesediaan murid untuk ditaksir dan menjadualkan semula pentaksiran jika terdapat murid yang bergejala," katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau berkata, guru juga perlu memberi penekanan kepada aspek penjarakan sosial, kebersihan dan keselamatan semasa proses pentaksiran dilaksanakan.

"Bagi pengendalian peperiksaan awam pula, ia perlu mengambil kira pertambahan bilangan bilik yang digunakan untuk peperiksaan apabila penjarakan sosial dilaksanakan.

"Jika terdapat calon yang bergejala serius, pihak sekolah perlu menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi mendapatkan nasihat untuk tindakan selanjutnya serta memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga," katanya.

Menurutnya, Ketua Pengawas Peperiksaan perlu memastikan semua urusan pengendalian peperiksaan awam di pusat peperiksaan dan di luar pusat peperiksaan dengan mengambil kira penjarakan sosial, kebersihan dan keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 4:56 PM