ISMAIL ketika sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada veteran ATM sempena program Ziarah Cakna Veteran ATM di Kota Kinabalu. FOTO Yun Mikail
ISMAIL ketika sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada veteran ATM sempena program Ziarah Cakna Veteran ATM di Kota Kinabalu. FOTO Yun Mikail
Yun Mikail


KEMENTERIAN Pertahanan terus memperhebatkan Op Benteng di seluruh negara dalam usaha menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) khususnya ketika pandemik Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah berkenaan penting berikutan terdapat beberapa negara berisiko tinggi dan Malaysia tidak boleh mempertaruhkan sempadannya apabila membabitkan soal keselamatan.

"Op Benteng tidak hanya tertumpu di Semenanjung Malaysia malah turut dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.

"Pemantauan ketat dalam kalangan individu yang melintasi sempadan amat penting kerana kita tidak mengetahui sama ada mereka membawa virus atau sebaliknya.

"Hal ini juga sama seperti situasi kemasukan Pati di Sabah. Mereka masuk ke negeri ini tanpa kebenaran malahan ia lebih membimbangkan ekoran tiada saringan kesihatan.

"Oleh itu, kita bersama agensi penguatkuasaan berkaitan lain mengambil tindakan tegas supaya dapat menghalang kemasukan mereka sekali gus menghindari kemungkinan jangkitan penyakit berjangkit," katanya ketika ditemui media selepas melawat kediaman seorang veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sepanggar, Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai sama ada kementeriannya bakal mengadakan perbincangan bersama kerajaan negeri untuk menangani masalah Pati di Sabah, Ismail Sabri berkata perkara itu adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Sabah mempunyai autonomi sendiri mengenai imigrasi tetapi kita tetap bekerjasama dengan imigresen peringkat persekutuan dan negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 5:37 PM