Ilme menunjukkan kakinya yang terpaksa dipasang besi sokongan selepas tercedera apabila pistol dibawa rakannya meletup di sebuah bangunan komersial di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Isnin lalu. Foto Ihsan Ilme Md Isa
Ilme menunjukkan kakinya yang terpaksa dipasang besi sokongan selepas tercedera apabila pistol dibawa rakannya meletup di sebuah bangunan komersial di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Isnin lalu. Foto Ihsan Ilme Md Isa
Nurul Hidayah Bahaudin

LELAKI cedera di kaki selepas pistol dibawa rakannya meletup dalam kejadian di sebuah bangunan komersial di Mutiara Damansara di Petaling Jaya, Isnin lalu.

Mangsa, Ilme Md Isa, 39, berkata, dia sedang berborak bersama rakannya berusia 30-an yang bekerja sebagai pengawal peribadi seorang pemilik sebuah syarikat di sebuah kafe bangunan terbabit pada 4 petang.

Menurutnya, dia terdengar bunyi letupan sebelum berasa kebas dan melihat darah mengalir di kakinya.

"Pada mulanya, saya menyangkakan bunyi letupan itu disebabkan pengecas mudah alih (power bank).

"Namun, saya dimaklumkan oleh rakan bahawa ia berpunca daripada pistol dibawanya yang diletakkan di dalam beg berhampiran saya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ilme yang juga bekerja sebagai pemandu berkata, dia kemudiannya dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

"Saya dimaklumkan oleh doktor bahawa terdapat kesan tembakan di bahagian bawah lutut yang tembus ke betis.

"Kecederaan itu menyebabkan pihak doktor terpaksa meletakkan besi pada bahagian kaki kiri saya yang cedera untuk menstabilkannya," katanya yang sudah dibenarkan keluar dari hospital semalam.

Menurutnya, pihak polis juga sudah mengambil keterangannya berhubung kejadian itu.

"Saya difahamkan rakan saya itu juga direman oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes terbabit.

"Dia (rakan) ada meminta maaf kepada saya atas apa yang berlaku dan saya sudah memaafkannya memandangkan ia berlaku tanpa sengaja," katanya yang memaklumkan mengenali rakannya itu sejak lima tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian itu.

"Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 6:17 PM