FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Mahaizura Abd Malik


SIME Darby Plantation (SDP) menerusi anak syarikatnya di Indonesia, Minamas Plantation (Minamas) dalam proses memuktamadkan garis panduan bagi meneruskan program 'Kelestarian Pencegahan Kebakaran berasaskan Komuniti' atau 'Desa Mandiri Cegah Api (DCMA) ketika pandemik Covid-19.

Sejak 2014, Minamas berjaya melaksanakan program DMCA yang memberi manfaat kepada lebih 60,000 penduduk di 29 perkampungan atau 161,000 hektar tanah di sekitar kawasan 11 anak syarikatnya di Sumatera dan Kalimantan.

Bagaimanapun, perancangan program yang dijadualkan pada Mac tahun ini berdepan cabaran berikutan keterbatasan pergerakan dan peraturan penjarakan sosial akibat wabak itu.

Justeru, syarikat itu dengan kerjasama rakan kongsinya, Universitas Tanjungpura membangunkan garis panduan pelaksanaan DCMA ketika pandemik.

Dalam forum maya yang berlangsung baru-baru ini, pelbagai pemegang taruh dalam industri minyak sawit termasuk Gabenor Kalimantan Barat dan

Sutarmidji, Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia (GAPKI), Jabatan Meteorologi dan Geofizik Jakarta, ahli akademik Universitas Tanjungpura serta felo syarikat peladangan membincangkan serta memberikan maklum balas mengenai satu garis panduan berkenaan.

Sebaik garis panduan itu dimuktamadkan, Minimas bakal meneruskan program DCMA di Kalimantan Barat bermula pertengahan Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Minamas Plantation Shamsuddin Muhammad berkata, penting bagi pihaknya terus teguh dalam mencari kaedah bekerjasama dengan pemegang taruh terutama komuniti setempat untuk meneruskan usaha mencegah kebakaran dan mengurangkan bilangan titik panas di rantau ini.

"Walaupun kerajaan dan penyedia penjagaan kesihatan kita memberi tumpuan untuk membendung Covid-19, namun kita tidak boleh mengabaikan ancaman kesihatan dan persekitaran lain termasuk potensi kehadiran jerebu.

"Isu ini adalah masalah rumit dan memerlukan kita menanganinya dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan.

"Sebagai satu daripada pemain industri minyak sawit, kami mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian isu tahunan ini, namun kami tidak boleh bersendirian.

"Kolaborasi kami dengan pelbagai pihak termasuk komuniti setempat, bukan sekadar hanya memantau kebakaran tetapi mengamalkan 'Pembakaran

Sifar' sebagai rutin harian kami tetapi penting dalam melawan jerebu," katanya pada kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan SDP Mohamad Helmy Othman Basha berkata, kumpulan itu sangat komited ke arah 'Pembakaran Sifar' sejak lebih 30 tahun lalu.

"Sifar penggunaan bahan api dalam penyediaan tanah dan mewujudkan pemantauan dan pencegahan berkesan, kami proaktif dalam memadam kebakaran dalam lingkungan lima kilometer dari kawasan operasi kami sebagai komitmen 'Pembakaran Sifar' termaktub dalam Piagam Pertanian Bertanggungjawab.

"Menyedari jerebu berpunca daripada kebakaran adalah isu rentas sempadan, kami komited mengajak pihak berkepentingan termasuk penduduk setempat untuk mengambil peranan sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 7:17 PM