X
Antara kawasan tumpuan di Ampang. Foto Arkib NSTP
Antara kawasan tumpuan di Ampang. Foto Arkib NSTP
BERNAMA

AMPANG kini menetapkan sasaran untuk diisytihar sebagai sebuah bandar raya menjelang tahun depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, banyak projek pembangunan sedang dijalankan bagi merealisasi misi tersebut.

"Antara projek yang sedang kita laksanakan adalah untuk buat satu kolam renang, pusat kawalan dan kita alihkan beberapa tempat medan selera, diperkemaskan dan dibersihkan.

"Ini antara usaha yang kita jalankan untuk mengangkatnya sebagai majlis bandar raya, kita sasar 2021," katanya selepas melawat tapak pembangunan di Dataran Belia Kampung Bukit Sungai Puteh, Ampang di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sudah memenuhi syarat seperti mempunyai jumlah penduduk melebihi 500,000 orang dan mencatat hasil sebanyak RM100 juta.

Ketika ini terdapat 16 bandar raya di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Georgetown, Seberang Prai, Ipoh, Petaling Jaya, Shah Alam, Alor Setar, Johor Bahru, Melaka, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu, Miri, Kuching, Iskandar Puteri, Seremban dan Subang Jaya.

Sementara itu, mengulas pembangunan loji sisa kepada tenaga (WTE) di bawah Dasar Kebersihan Negara, beliau berkata, setiap negeri akan memiliki sekurang-kurangnya satu loji WTE.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 10:13 PM