X
Siti Rohana Idris


PERGERAKAN mereka yang lincah ketika memasak dan membancuh minuman di gerai kecil di hadapan rumah di Kampung Padang Kedondong, Kota Bharu, langsung tidak memperlihatkan kelainan.

Hakikatnya, pasangan suami isteri itu, Mohd Firdaus Mohd Noor, 37 dan Norizawati Abdul Latif, 46, adalah orang kurang upaya (OKU) masalah penglihatan.

Memulakan semula perniagaan char kuetiaw sejak sebulan lalu selepas tergendala akibat pandemik Covid-19, kedai makan kecil itu hanya diusahakan oleh mereka berdua tanpa mengupah pembantu.

Mohd Firdaus yang mengalami masalah penglihatan sejak kecil berkata, walaupun sepasang matanya tidak berfungsi secara normal, pergerakannya semasa memasak dan menyediakan hidangan char kuetiaw sentiasa lancar.

"Syaratnya jangan ada sesiapa yang 'mengacau' ketika saya di dapur kerana jika hanya saya yang mengendalikannya, segala letak duduk perkakas dan bahan masakan sudah diketahui walau ada kalanya terpaksa meraba-raba.

"Isteri pula mengalami masalah rabun kedua belah matanya dan tugas dia pula sebagai pembancuh minuman, setakat ini 'gandingan' kami memuaskan hati pelanggan," katanya ketika ditemui di gerainya baru-baru ini.

Menyingkap kejadian yang menyebabkan pancaindera penglihatannya menjadi tidak normal, Mohd Firdaus yang berasal dari Ipoh, Perak berkata, insiden itu berlaku ketika usianya empat tahun apabila dia terjatuh dan kecederaannya membabitkan saraf berhampiran mata.

Dia yang juga ahli Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia berkata, akibat kejadian itu, kedua-dua bebola matanya tidak normal yang menyebabkan objek dilihatnya tidak statik dan sentiasa bergerak sekali gus menjadikan pandangannya kabur.

"Saya juga berdepan dengan masalah silau yang teruk pada waktu siang, disebabkan itulah saya membuka gerai bermula jam 6 petang sehingga 11 malam.

"Isteri pula sejak lahir lagi menghadapi masalah rabun, ada kala pandangannya menjadi silau bergantung kepada cuaca serta faktor kesihatan," katanya yang juga bekas chef di sebuah hotel di Ipoh.

Ketika ditanya sama ada pernah atau tidak dimarahi pelanggan disebabkan servis yang disediakan tidak memuaskan hati umpamanya hidangan lambat sampai ke meja disebabkan pergerakan terbatas, Mohd Firdaus berkata, setakat ini belum pernah berdepan dengan kejadian itu kerana majoriti pelanggan yang datang ke gerainya sudah maklum akan kekurangan mereka berdua.

Katanya, ada juga pelanggan yang tidak mengetahui kekurangan itu dan terkejut apabila mendapat tahu mereka berdua adakah OKU penglihatan kerana pergerakan suami isteri itu sepanjang mengendalikan gerai makan tidak menunjukkan perbezaan dengan mereka yang normal.

"Cuma kami tidak boleh memandu sama ada motosikal atau kereta dan jika memerlukan kami ke mana-mana, saya akan mengupah jiran untuk memandu kereta milik saya.

"Begitu juga jika membeli bahan mentah, selalunya saya akan menggunakan khidmat penghantaran tunai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 9:22 AM
MOHD Firdaus menyediakan char kuetiaw yang ditempah pelanggannya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
MOHD Firdaus menyediakan char kuetiaw yang ditempah pelanggannya. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.