Muhaamad Hafis Nawawi


SEBUAH Toyota Corolla terjunam ke dalam sungai selepas terbabas berhampiran pusat beli-belah Sogo di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 8.24 pagi seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.

Komander Operasi Kanan Mohd Azizi Abdullah berkata, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dan bantuan daripada BBP Jalan Hang Tuah dengan kekuatan 15 orang anggota dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, terdapat sebuah kereta dipercayai terbabas dan terjatuh ke dalam sungai.

"Anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan persediaan rapi dengan mengekalkan tahap keselamatan yang tinggi kerana arus sungai semasa hujan boleh menyebabkan sebarang kegagalan operasi menyelamat.

"Selepas membuat pemeriksaan, tiada mangsa di dalam kereta yang tenggelam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, difahamkan mangsa sudah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

"Anggota menjalankan operasi menaikkan kereta bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan tamat sepenuhnya pada jam 10.47 pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 11:27 AM
ANGGOTA bomba melakukan operasi menaikkan Toyota Corolla yang terjunam ke dalam sungai. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba melakukan operasi menaikkan Toyota Corolla yang terjunam ke dalam sungai. FOTO ihsan bomba