X
ANTARA pemandu yang menjalani ujian saringan pernafasan bagi menentukan paras alkohol. FOTO ihsan polis
ANTARA pemandu yang menjalani ujian saringan pernafasan bagi menentukan paras alkohol. FOTO ihsan polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

ENAM individu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Ops Alkohol di beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, individu berusia antara 22 hingga 41 tahun itu gagal ujian saringan pernafasan dilakukan polis ketika pemeriksaan dijalankan.

"Operasi yang bermula pada jam 11 malam dan berakhir jam 3 pagi itu memeriksa 252 pengguna jalan raya membabitkan 217 kenderaan.

"Polis turut mengeluarkan 42 saman atas pelbagai kesalahan trafik dilakukan pengguna jalan raya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nik Ezanee berkata, sejak Ops Alkohol dijalankan bermula pada 27 Mei lalu, lebih 100 individu sudah ditahan kerana melakukan kesalahan berkenaan.

"Berdasarkan statistik dalam tempoh satu minggu operasi dijalankan didapati berlaku penurunan berhubung kesalahan berkenaan.

"Semua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45(A)1 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 12:20 PM