X
GELAGAT pengunjung ketika bermain baling tin dan baling selipar di Muzium Diraja Seri Menanti.  FOTO Amran Yahya
GELAGAT pengunjung ketika bermain baling tin dan baling selipar di Muzium Diraja Seri Menanti. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


BAGI memartabatkan permainan tradisional, anak jati Kampung Buyau, Seri Menanti, Kuala Pilah, Rafiuddin Baharuddin mengambil inisiatif memperkenalkan beberapa permainan lama di Muzium Diraja Seri Menanti.

Rafiuddin, 54, berkata, dia mahu jadikan permainan tradisional sebagai daya tarikan bagi mendorong ibu bapa membawa anak-anak mereka berkunjung ke Muzium Diraja Seri Menanti.

"Antara permainan yang saya hidupkan kembali ialah batu seremban, gasing, congkak, terompah tempurung, ceper, baling tin dan selipar serta senapang buluh," katanya ketika ditemui di Muzium Diraja Seri Menanti, hari ini.

Menurutnya, dia akan berusaha menambah beberapa lagi permainan agar ia dapat dipelbagaikan mengikut cita rasa pengunjung.

"Antara permainan yang bakal ditambah ialah teng-teng, tarik upih, galah panjang, menyumpit serta memanah namun semua permainan ini memerlukan kawasan yang luas.

"Selain permainan tradisional, aktiviti kereta kuda juga diperkenalkan. Dengan bayaran RM40, pengunjung dibawa mengelilingi persekitaran berhampiran Seri Menanti dengan jarak laluan kira-kira dua kilometer.

"Sewaan busana tradisional Negeri Sembilan yang lengkap dengan aksesori untuk lelaki dan wanita juga boleh didapati di sini untuk diabadikan dalam gambar sebagai tanda kenang-kenangan," katanya.

Rafiuddin berkata, bagi mereka yang meminati masakan tradisional Negeri Sembilan, pelbagai juadah enak disediakan di Muzium Diraja Seri Menanti pada Sabtu dan Ahad.

"Kesemua yang saya cuba perkenalkan ini adalah warisan yang patut kita banggakan terutama kepada generasi muda," katanya.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) Drs Shamsuddin Ahmad berkata, pihak muzium mengalu-alukan usaha yang dilakukan olah Rafiuddin dengan memperkenalkan beberapa permainan tradisional ke Muzium Diraja Seri Menanti.

"Beliau mempunyai kemahiran dan peralatan yang cukup disamping ada ketokohan untuk memperkenalkan permainan ini kepada masyarakat.

"Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri permainan tradisional masyarakat Melayu agar terus diperkasakan disamping menjadi tarikan masyarakat untuk datang ke Muzium Diraja Seri Menanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 12:39 PM