X
PENGAWAI Jabatan Perangkaan Malaysia negeri Kelantan menghantar poskad Banci Malaysia 2020 ke rumah yang dikenalpasti. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PENGAWAI Jabatan Perangkaan Malaysia negeri Kelantan menghantar poskad Banci Malaysia 2020 ke rumah yang dikenalpasti. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Siti Rohana Idris


KELANTAN melakukan bancian ke atas 1.9 juta penduduk termasuk Orang Asli mengikut dua fasa yang dijadual berakhir 24 Oktober.

Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Kelantan, Zuraidy Zainal Abidin berkata, fasa pertama proses itu yang bermula Selasa lalu ialah mengumpul data dalam talian (e-Census) yang berakhir 30 September, manakala fasa kedua babitkan pengumpulan data bersemuka hingga 24 Oktober.

Katanya, 20,000 penduduk Orang Asli di Gua Musang dan Jeli turut dibanci.

"Untuk fasa pertama, kita sasarkan 30,000 kediaman dilawati pegawai bancian dan setakat ini 3,000 sudah dikunjungi membabitkan Kota Bharu, Tanah Merah, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.

"Kaedahnya adalah dengan menghantar poskad Banci Malaysia 2020 ke rumah dikenal pasti, yang mana poskad itu mempunyai nombor ID unik bagi membolehkan isi rumah mendaftar masuk ke dalam sistem e-Census.

"Penduduk dipilih adalah yang tinggal di kawasan mempunyai akses internet tinggi," katanya yang ditemui ketika meninjau bancian secara e-Census di Kampung Chicha, Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

Zuraidy berkata, isi rumah yang tidak menerima poskad itu boleh membuat pendaftaran secara dalam talian bagi mendapatkan maklumat untuk mengakses sistem e-Census.

Katanya, fasa kedua pula akan menyusul, membabitkan 5,200 penyelia dan pembanci yang mengutamakan penduduk di kawasan sukar memperoleh akses Internet.

Dalam pada itu, beliau berkata pembanci boleh dikenal pasti berdasarkan etika pemakaian dan kad pengenalan pembanci yang disertakan nama lengkap, nombor kad pengenalan serta nombor siri pembanci ditandatangani Penolong Pesuruhjaya Banci kawasan.

"Jika mencurigakan, responden boleh menghubungi talian hotline 1-800-88-7720 atau pegawai berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 2:00 PM