X
FOTO hiasan
FOTO hiasan
Mohamed Farid Noh


MAHKAMAH Tinggi, Johor Bahru, hari ini, memerintahkan seorang pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan dipenjarakan empat tahun atas tujuh pertuduhan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah hampir RM2.08 juta, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyabitkan hukuman itu ke atas tertuduh, Mohd Ismail Syed Merah, 53.

Abu Bakar dalam penghakimannya berkata, Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam melepas dan membebaskan tertuduh, Januari tahun lalu.

"Selepas meneliti semuanya, saya mendapati Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila melepas dan membebaskan tertuduh di akhir kes pembelaan.

"Oleh itu, tertuduh dihukum penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan yang dijalankan secara serentak, " katanya ketika membacakan penghakimannya, hari ini.

Pada 30 Januari tahun lalu, Mahkamah Sesyen Johor Bahru melepas dan membebaskan tertuduh daripada kesemua tujuh pertuduhan berkenaan selepas perbicaraan dan pendakwaan dilakukan pada Disember 2016.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menggunakan wang hasil aktiviti haram melalui pembelian pelan dan pelaburan perlindungan insurans yang didaftarkan atas nama tertuduh dan nama anak kandungnya yang diuruskan ejen insurans MAA Takaful Bhd.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di MAA Takaful Bhd di Jalan Tun Razak, Johor Bahru antara 4 September 2014 hingga 26 Februari 2015.

Masing-masing membabitkan wang berjumlah RM10,143.37, RM40,000, RM6,283.09, RM993,716.91 dan RM500,000.

Bagi pertuduhan keenam, tertuduh dilakukan melakukan kesalahan sama, membabitkan wang berjumlah RM499,620 di RHB Bank Bhd Cawangan Batu Pahat dengan menggunakan akaun bank pihak ketiga iaitu akaun RHB Bank Bhd milik Tan Kim Tee pada 8 Oktober 2015.

Bagi pertuduhan ketujuh, tertuduh turut didakwa atas kesalahan sama di CIMB Bank Bhd Cawangan Batu Pahat membabitkan wang berjumlah RM29,950 dengan menggunakan akaun pihak ketiga iaitu akaun CIMB Bank Bhd milik Kim Tee pada 28 Disember 2015.

Bagi semua kesalahan itu, Mohd Ismail dituduh mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan SPRM Putrajaya, Muhammad Ashraf Mohamed Tahir, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Baharuddin Ahmad Kassim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 2:08 PM