ANTARA yang ditahan dalam operasi yang diadakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sekitar Yan. FOTO Ihsan AADK
ANTARA yang ditahan dalam operasi yang diadakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sekitar Yan. FOTO Ihsan AADK
Nor Farhani Che Ad

BUKAN sahaja bersekedudukan, malah sepasang kekasih didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Guar Chempedak, Yan, awal pagi tadi.

Kedua-dua mereka berusia 23 dan 25 tahun itu antara empat individu yang ditahan dalam operasi selama lebih tiga jam di sekitar daerah Yan yang berakhir pada 2.30 pagi.

Ketua AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, wanita terbabit yang berstatus janda dipercayai tinggal di rumah keluarga teman lelakinya sejak empat bulan lalu.

"Ketika ditahan, pasangan itu enggan berpisah dan mendakwa sanggup sehidup semati walau apa pun yang terjadi.

"Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis opiat dan methamphetamine," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata, pihaknya turut membuat serbuan di lokasi panas lain iaitu di Titi Lahar, Kampung Perigi, Kampung Teroi dan Kampung Gelam 3 di Yan.

Menurutnya, pihaknya turut menahan dua lelaki yang didapati positif dadah jenis opiat serta methamphetamine dan hasil soal siasat mendapati mereka mendapatkan bekalan dadah dari sebuah 'port' di Gurun.

Katanya, kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 3:55 PM