TERTUDUH, Mohd Yusof (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Berang atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 21.96 gram. FOTO Ihsan PDRM
TERTUDUH, Mohd Yusof (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Berang atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 21.96 gram. FOTO Ihsan PDRM
Zatul Iffah Zolkiply

BURUH yang memiliki satu rekod jenayah cubaan mencuri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Berang, hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 21.96 gram, awal bulan ini.

Tertuduh, Mohd Yusof Zainuddin, 42, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis heroin dengan berat kasar 21.96 gram di sebuah bangsal di belakang rumah di Kampung Matang, Kuala Berang pada 6.35 petang 1 Julai lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh berdepan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Tuan Rosnah Tuan Husain manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Engku Nurul Ain menetapkan 13 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 4:17 PM