AHMAD CHIK. FOTO Zuliaty Zulkiffli
AHMAD CHIK. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


"ARWAH paling rapat dengan saya kerana setiap kali bekerja di luar kawasan, dia akan hantar anaknya ke rumah saya.

"Saya pula akan hantar dua anaknya ke sekolah dan isterinya ke tempat kerja, tetapi sekarang dia sudah tiada, saya akan galas tanggungjawab itu selagi hayat dikandung badan," kata Ahmad Chik, 70.

Ahmad adalah abang ipar Ahmad Roshidi Halim, 51, yang maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 196.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Barat di Kuantan, petang semalam.

Rakan mangsa, Rajhan Ibrahim, 56, turut terbunuh dalam kejadian itu manakala seorang lagi rakan mereka, Mohd Wari Mat Zaki, 51, cedera dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Menurut Ahmad, dia hanya mengetahui berita sedih itu selepas dimaklumkan adik bongsunya, Salmi, 47, yang juga isteri Ahmad Roshidi pada 5.30 petang semalam.

Katanya, dia terdengar adiknya menangis ketika menghubunginya dan memaklumkan Roshidi meninggal dunia dalam kemalangan itu.

"Saya pun turut sedih kerana tak sangka kali ini arwah pergi buat selama-lamanya kerana dia memang kerap pergi luar kawasan disebabkan urusan perniagaannya sebagai kontraktor.

"Kali terakhir bertemu dengannya Jumaat lalu ketika dia menghantar dua anaknya, Faiz Hamdani,11, dan Fatma Zahra, 8, ke rumah saya, tetapi kami tak sempat berbual," katanya ketika ditemui di rumah mangsa di Taman Pandan, Alor Setar, hari ini.

Menurut Ahmad yang menetap di Sungai Baru, Alor Setar, kebiasaannya arwah akan keluar dari kereta dan berbual dengannya, namun dia banyak mendiamkan diri sejak lebih seminggu lalu.

Katanya, selepas menghantar dua anaknya ke rumah, arwah terus pergi tanpa sempat berjumpa.

"Saya tahu dia nak ke Kuantan kerana urusan kerja dan saya pula menjalankan tugas menghantar adik saya (isteri arwah) ke tempat kerja, manakala anaknya duduk di rumah saya.

"Namun, saya reda dengan apa yang berlaku dan menganggap semua yang berlaku sebagai takdir," katanya.

Menurut Ahmad, jenazah adik iparnya masih berada di Kuantan dan dijangka dikebumikan di kampung halamannya di Jerlun sebaik segala urusan selesai, malam ini.

Sementara itu, isteri mangsa enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan apa yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 4:29 PM