Wilfred Madius Tangau (kiri) bersama sebahagian ahli Persatuan Pengusaha Bas Kiulu. FOTO RECQUEAL RAIMI
Wilfred Madius Tangau (kiri) bersama sebahagian ahli Persatuan Pengusaha Bas Kiulu. FOTO RECQUEAL RAIMI
Recqueal Raimi


PENDUDUK di Kiulu bakal menikmati perkhidmatan bas mini percuma secara ulang-alik ke Pekan Tamparuli sejauh 14 kilometer.

Difahamkan program terbabit dibuat menerusi kerjasama Persatuan Pengusaha Bas Kiulu dan Persatuan Belia Kiulu melalui dana daripada Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Kiulu Peris Gasingul berkata, program percubaan bagi tempoh setahun itu dijalankan setiap Selasa dan Rabu yang akan dilaksanakan bermula bulan ini.

"Ia pastinya memberi manfaat kepada penduduk termasuk peniaga memandangkan Selasa adalah Tamu Kiulu manakala Rabu pula Tamu Tamparuli.

"Perkhidmatan bas mini percuma ini akan dilaksanakan mengikut jadual iaitu jam 8 pagi dan 1 tengah hari bagi perjalanan dari Kiulu ke Tamparuli manakala 10.30 pagi dan 3.30 petang bagi perjalanan dari Tamparuli ke Kiulu," katanya.

Sementara itu, Madius berkata, program terbabit juga adalah salah satu langkah bagi membantu masyarakat Kiulu yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Menurutnya, beliau akan berunding dengan Persatuan Pengusaha Bas Kiulu untuk membantu pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Fuad Stephens, Kiulu yang memerlukan pengangkutan bas ekoran penutupan asrama.

"Bangunan asrama yang terletak berhampiran sekolah itu sudah lama dan diisytiharkan tidak selamat oleh pihak kerajaan.

"Jadi, kita akan cuba mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah pengangkutan dihadapi pelajar khususnya yang tinggal jauh," katanya ketika ditemui dalam sebuah program di Kiulu, semalam.

Dalam program berkenaan, Madius turut menyampaikan sumbangan beras kepada ahli Persatuan Pengusaha Bas Kiulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 4:56 PM