SENAPANG angin yang dirampas daripada suspek, yang dibelinya dari Long Bawan, Indonesia.
SENAPANG angin yang dirampas daripada suspek, yang dibelinya dari Long Bawan, Indonesia.
Melvin Joni

POLIS memberkas seorang penjaga stor kerana memiliki selaras senapang angin dan 90 butir peluru yang dikatakannya digunakan untuk menjaga kebun.

Lelaki berusia 54 tahun itu ditangkap dalam serbuan Ops Laras yang dijalankan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas di rumahnya di Jalan Punang, di Lawas, pada jam 10.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Lawas Deputi Superintendan Roslan Leman berkata, ketika disoal-siasat, suspek mengaku senjata yang disembunyikannya di dalam stor rumahnya itu adalah miliknya yang dibelinya pada Januari lalu dari sebuah kedai di Long Bawan, Indonesia.

Katanya, suspek membawa masuk senjata itu dengan menyelitkan dalam barangan dan pakaian semasa memandu melalui sempadan Long Bawan-Ba' Kelalan sehingga tidak dikesan oleh pasukan keselamatan.

"Suspek membeli senapang itu selepas balik menghantar rakannya yang berkahwin dengan wanita dari Long Bawan.

"Senapang itu dibeli dengan harga RM400 manakala peluru dibeli dengan harga RM50 sepaket bagi tujuan menjaga kebunnya di Kampung Siang-Siang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Roslan berkata, suspek menyatakan tidak menggunakan senjata itu untuk memburu dan tidak pernah dipinjamkan kepada orang lain setakat ini.

Menurutnya, lelaki yang sudah berkeluarga itu dibawa ke Balai Polis Lawas untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 5:16 PM