Pasangan yang dicekup berkhalwat oleh anggota penguat kuasa JAIK di sebuah bilik sewa di Jalan Suka Menanti. FOTO IHSAN JAIK
Pasangan yang dicekup berkhalwat oleh anggota penguat kuasa JAIK di sebuah bilik sewa di Jalan Suka Menanti. FOTO IHSAN JAIK
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI memberi alasan terpaksa menumpang di bilik sewa teman wanitanya kerana diusir keluar dari rumah sewanya selepas dibuang kerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, alasan itu tidak diterima apabila dia dan pasangannya dicekup kerana disyaki berkhalwat di sebuah bilik sewa di Jalan Menanti, Alor Setar, pada 12.40 tengah malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, berdasarkan maklumat awam, pihaknya melakukan pemeriksaan di bilik berkenaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui pasangan itu berdua-duaan dalam bilik terbabit tanpa sebarang ikatan sah atau dokumen membuktikan mereka pasangan suami isteri atau mahram.

"Lelaki berusia 26 tahun itu mendakwa dibuang kerja akibat PKP menyebabkan dia diusir keluar dari rumah sewanya sebelum ini.

"Pemeriksaan pula mendapati wanita berusia 27 tahun terbabit yang berasal dari Perak baru bekerja di sebuah kedai makan di Jitra," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Radzi berkata, bilik sewa itu dipercayai diubahsuai dan mempunyai puluhan bilik sewa lain.

Katanya, walaupun keadaan bilik sewa itu kotor kerana terdapat longgokan sampah dan najis kucing, tetapi pasangan terbabit sanggup menyewa di situ sejak sebulan lalu disebabkan harga murah.

"Mereka kemudian ditahan dan dibawa ke balai polis untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk diambil keterangan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 2014, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 5:27 PM