Nor Fazlina Abdul Rahim


SEBANYAK 2,226 kes denggi dilaporkan di Kelantan sehingga semalam, meningkat 159 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, Kota Bharu dan Bachok mencatatkan kes paling tinggi.

Katanya, peningkatan disebabkan beberapa faktor termasuk kebersihan, cuaca dan migrasi.

"Sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini juga, empat mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat denggi.

"Justeru, kita merasakan satu tindakan lebih agresif perlu dilakukan bagi menangani masalah ini yang berkait rapat dengan kebersihan dan cara pengurusan sampah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kawalan Denggi Dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kota Bharu, hari ini.

Dr Izani turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga persekitaran kawasan rumah bagi mengelak daripada dikenakan kompaun oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

"Sepanjang tahun ini, sebanyak 1,264 kompaun dikenakan dan 381 notis mengikut Seksyen 8 dikeluarkan terhadap penduduk. PBT dengan kerjasama JKN akan mengadakan program gotong-royong dikenali Program Kelantanku Bersih secara berperingkat.

"Minggu lalu, program gotong-royong sudah dilakukan di Pasir Pekan dan minggu ini akan dilakukan di Pantai Cahaya Bulan (PCB)," katanya.

Dalam perkembangan lain ketika ditanya mengenai operasi pasar malam, Izani berkata, isu pasar malam dianggap selesai selepas kerajaan mengecualikan penjarakan dua meter di Kelantan.

Bagaimanapun katanya, Prosedur Operasi Standard (SOP) lain perlu dipatuhi dan pihak peniaga perlu berhubung dengan PBT untuk operasi pasar malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 5:39 PM