ANGGOTA dan kakitangan awam wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkelayakan akan ditawarkan ujian saringan kanser serviks menggunakan kaedah ujian Virus Papiloma Manusia (HPV) secara percuma. FOTO Arkib NSTP
ANGGOTA dan kakitangan awam wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkelayakan akan ditawarkan ujian saringan kanser serviks menggunakan kaedah ujian Virus Papiloma Manusia (HPV) secara percuma. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

SEMUA anggota dan kakitangan awam wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berkelayakan akan ditawarkan ujian saringan kanser serviks menggunakan kaedah ujian Virus Papiloma Manusia (HPV) secara percuma, menurut Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad.

Beliau berkata, inisiatif itu hasil kerjasama PDRM dengan Yayasan ROSE (Removing Obstacles to Cervical ScrEening) menerusi program 'Barisan Hadapan Bersatu Menentang Kanser Serviks'.

Menurutnya, buat permulaan, ujian saringan itu membabitkan 374 pegawai dan kakitangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan sebelum diperluaskan kepada semua IPK lain secara berperingkat.

Bagaimanapun, katanya, kelayakan untuk mendapatkan ujian secara percuma ini tertakluk kepada kategori kumpulan isi rumah B40 anggota dan kakitangan terbabit.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada pelaksanaan program berkenaan di IPK Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Pemegang Amanah Yayasan ROSE, Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzaman; Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah dan Penasihat Teknikal Perubatan Yayasan ROSE, Prof Woo Yin Ling.

Sementara itu, Dr Adeeba berkata, ujian saringan berkenaan seiring dengan negara lain yang mula menerima dan mengguna pakai ujian HPV berbanding ujian 'pap smear' bagi tujuan saringan kanser serviks.

Katanya, menerusi ujian saringan berkenaan juga dapat mengesan virus penyebab kanser serviks pada peringkat awal selain memudahkan golongan wanita di negara ini menjalani ujian saringan.

"Ujian ini juga kurang menyakitkan berbanding ujian 'pap smear' kerana kaum wanita hanya menjalani ujian ini menerusi ujian calitan yang dilakukan sendiri menggunakan kit ujian selain keputusannya juga dapat diketahui secara digital melalui platform e-Kesihatan.

"Malah, ujian HPV ini memakan kos sekitar RM250 untuk setiap ujian, tetapi di bawah Yayasan ROSE, ia diberikan secara percuma kepada mereka yang layak, hasil tajaan Etiqa Cares," katanya.

Untuk rekod, sehingga kini lebih 10,000 wanita sudah menjalani ujian saringan kanser serviks di bawah Yayasan ROSE.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 6:11 PM