HALIMATU Saadiah menunjukkan sotong yang berjaya dinaikkan ketika menyertai program Maghi Candat Sotong Terengganu 2020 di perairan Pulau Kapas di Terengganu. FOTO Ihsan Halimatu Saadiah
HALIMATU Saadiah menunjukkan sotong yang berjaya dinaikkan ketika menyertai program Maghi Candat Sotong Terengganu 2020 di perairan Pulau Kapas di Terengganu. FOTO Ihsan Halimatu Saadiah
Zaid Salim

"KALI pertama candat sotong memang rasa takut bila tengok ombak bergelora, tetapi sekarang jadi ketagih dan akan keluar mencandat walaupun sekali, setiap tahun," kata Halimatu Saadiah Ab Wahab, 31.

Dia yang juga pengamal media sosial berkata, mencandat sotong sudah menjadi aktiviti wajib bagi dirinya sebaik sahaja musim sotong bermula antara April hingga Ogos.

Katanya, dia akan berasa teruja apabila berjaya menaikkan sotong sekali gus mengatasi perasaan takut sebaik sahaja berada di atas bot.

"Saya mula mencandat sotong sejak 2012 dan sepanjang tempoh itu saya tidak pernah mengalami kejadian yang menakutkan seperti dipukul ribut atau insiden lain," katanya ketika ditemui pada program Maghi Candat Sotong Terengganu 2020 yang berakhir, hari ini.

Pada program itu, Halimatu Saadiah berjaya menaikkan sebanyak 3.9 kilogram (kg) sotong dan menjadikannya peserta wanita unggul yang memperolehi hasil tangkapan terbanyak.

Manakala, bagi kategori tangkapan terbanyak kumpulan dimenangi Pejabat Daerah Marang dengan tangkapan sebanyak 17.8 kg.

PESERTA dari Pejabat Daerah Marang dinobatkan sebagai juara kategori kumpulan pada majlis penyampaian hadiah program Maghi Candat Sotong Terengganu 2020 di Jeti Pelancongan Marang. FOTO Ghazali Kori
PESERTA dari Pejabat Daerah Marang dinobatkan sebagai juara kategori kumpulan pada majlis penyampaian hadiah program Maghi Candat Sotong Terengganu 2020 di Jeti Pelancongan Marang. FOTO Ghazali Kori

Halimatu Saadiah berkata, dia mula menggemari aktiviti itu selepas diajak pensyarah dan rakan ketika menuntut di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 2012.

"Saya tidak pandai berenang dan sudah tentu rasa takut bila berada di tengah laut tetapi bila dapat menaikkan sotong, rasa takut hilang.

"Sukar saya nak ceritakan bagaimana kepuasan bila kali pertama dapat menaikkan sotong," katanya yang tinggal di Kampung Kuala Bekah, Kuala Terengganu.

Katanya, sejak itu dia tidak pernah terlepas untuk mencandat sotong sama ada melalui program, pertandingan atau bersama rakan.

"Alhamdulillah, setakat ini saya belum lagi merasai mabuk laut sebagaimana yang pernah dilalui rakan yang sama-sama mencandat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 6:46 PM