Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

BUKAN hanya dirogol, malah dilacurkan juga oleh bapa kandung.

Itu nasib malang menimpa seorang remaja perempuan berusia 13 tahun di Kajang sebelum rahsia itu terbongkar beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang wanita yang juga ibu saudara mangsa berhubung kejadian itu pada 3.08 petang semalam.

"Difahamkan, mangsa mula dirogol oleh bapa kandungnya ketika dia baru berusia 10 tahun.

"Ibu mangsa yang mengetahui kejadian itu pernah memarahi suspek dan lelaki itu menyatakan tidak akan mengulangi perbuatannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, mangsa kemudiannya dipaksa pula oleh suspek untuk melakukan hubungan seks dengan lebih 20 orang yang dibawanya sejak pertengahan 2019 hingga Februari lalu.

"Semua kejadian ini berlaku di rumah mangsa sendiri. Suspek membawa pelanggan ke rumah itu dan memaksa mangsa melayani kehendak seks pelanggan berkenaan.

"Mangsa tidak memperolehi apa-apa bayaran bagi layanan seks yang dilakukannya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan bapa kandung mangsa yang masih bebas.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376B dan 372 Kanun Keseksaan serta Seksyen 43(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Norhafiza Borhannudin di talian 018-3903410 atau 03-89114222 untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 7:45 PM