Bot nelayan Vietnam yang ditahan APMM kerana menangkap ikan tanpa kebenaran berhampiran Pulau Kuraman, Labuan hari ini. Foto Juwan Riduan
Bot nelayan Vietnam yang ditahan APMM kerana menangkap ikan tanpa kebenaran berhampiran Pulau Kuraman, Labuan hari ini. Foto Juwan Riduan
Juwan Riduan

BOT nelayan Vietnam yang berselindung di sebalik kapal kargo untuk mengaburi mata pihak berkuasa tidak berjaya apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Labuan hari ini.

APMM menahan bot nelayan asing berkenaan pada 2.30 petang di kedudukan 23.4 nautika dari Pulau Kuraman selepas dikesan menjalankan kegiatan menangkap ikan menggunakan kaedah tunda ganding.

Pengarah APMM Zon Labuan Komander Nor Bakari Abu Bakar berkata, pihaknya bertindak atas aduan komuniti maritim yang kerap kali melihat kegiatan bot berkenaan menangkap ikan di perairan negara ini.

Menurutnya, pada mulanya pihaknya mengesan dua bot sebelum pihaknya merapatinya tanpa disedari nelayan terbabit.

"Bagaimanapun, sebaik pemeriksaan dilakukan, sebuah lagi bot nelayan bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan, lima individu warga Vietnam termasuk tekong bot berusia 22 hingga 35 tahun ditahan untuk siasatan lanjut," katanya hari ini.

Nor Bakari berkata, semua individu berkenaan didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, pukat tunda ganding yang digunakan juga didapati dipotong dipercayai bagi menghapuskan bahan bukti.

"Semua individu terbabit diarahkan menjalani ujian Covid-19 sebelum diiringi balik ke Jeti APMM Labuan untuk tindakan selanjutnya.

"Mereka seakan-akan tidak takut tindakan undang-undang negara dan bot nelayan berkenaan didaftarkan atas nama One United untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Nor Bakari berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 10:32 PM