Anggota bomba memadam kebakaran bas ekspres   berhampiran Kampung Telagus di Jalan Simunjan-Serian dekat Serian malam tadi. Foto Norsyazwani Nasri
Anggota bomba memadam kebakaran bas ekspres berhampiran Kampung Telagus di Jalan Simunjan-Serian dekat Serian malam tadi. Foto Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri

PENUMPANG bas ekspres yang dalam perjalanan dari Mukah ke Kuching berdepan detik cemas selepas kenderaan dinaiki mereka itu terbakar berhampiran Kampung Telagus di Jalan Simunjan-Serian dekat Serian malam tadi.

Bagaimanapun, kesemua penumpang bas berkenaan itu berjaya keluar menyelamatkan diri dalam kejadian pada 7.40 malam.

Seorang penumpang, Ibrahim Jollkainaini, 37, berkata, bas yang dinaikinya pada mulanya terbakar pada bahagian brek ketika berada di Jalan Lachau pada 5.40 petang, namun kebakaran itu berjaya dipadam menggunakan alat pemadam api.

Menurutnya, penumpang kembali panik apabila bas mengeluarkan asap semula ketika di Jalan Simunjan-Serian disebabkan satu daripada tayarnya meletup.

"Semua penumpang yang terdiri daripada orang dewasa dan kanak-kanak berjaya keluar sebelum bas itu terbakar sepenuhnya," katanya.

Menurutnya, ia merupakan pengalaman pertamanya berhadapan peristiwa seperti itu walaupun sudah banyak kali menggunakan perkhidmatan bas ekspres balik ke kampung halamannya di Mukah.

"Ini adalah pengalaman pertama saya menaiki bas yang terbakar dalam perjalanan dari Mukah ke Kuching yang mengambil masa selama 10 jam.

"Saya bersyukur kerana semua penumpang selama dalam kejadian ini," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 8.18 malam dengan menggerakkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian ke lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 11:12 PM