KUALA LUMPUR 06 JULAI 2018. (Gambar Hiasan Kemurungan/Wanita) Keluarga perlu beri sokongan untuk ahli keluarga yang mengalami masalah kemurungan. NSTP/EMAIL
KUALA LUMPUR 06 JULAI 2018. (Gambar Hiasan Kemurungan/Wanita) Keluarga perlu beri sokongan untuk ahli keluarga yang mengalami masalah kemurungan. NSTP/EMAIL
Nurul Hidayah Bahaudin


REMAJA perempuan di Kajang yang dirogol dan dilacurkan bapa kandungnya dipercayai dibayar pada harga RM100 bagi setiap pelanggan yang melakukan hubungan seks dengannya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Bryan Lai Wai Chong berkata, maklumat itu diperolehi pihaknya melalui keterangan diberitahu oleh ibu saudara remaja berusia 13 tahun terbabit.

"Saya dihubungi oleh ibu saudara mangsa berusia 30-an mengenai perkara itu, semalam, sebelum saya mengarahkan pegawai khas saya untuk membawa mangsa membuat pemeriksaan di Hospital Ampang.

"Pada masa sama, pegawai khas terbabit turut membantu ibu saudara mangsa membuat laporan polis untuk tindakan lanjut

"Ibu saudara mangsa juga ada memberitahu bahawa remaja berkenaan dibayar RM100 daripada setiap pelanggan semasa dia dilacurkan oleh bapa kandungnya," katanya ketika dihubungi, semalam.

Bryan berkata, mangsa kini ditempatkan di Hospital Ampang untuk pemeriksaan lanjut.

"Mangsa dijangka akan dibenarkan keluar dari hospital dalam tempoh beberapa hari lagi sebaik selesai pemeriksaan dilakukan.

"Sebaik keluar hospital nanti, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengambilnya untuk penjagaan sementara," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan kes itu selain memberikan sokongan moral kepada mangsa dan ibu saudaranya.

"Dalam keadaan ini, pastinya mereka memerlukan sokongan moral untuk meneruskan kehidupan. Justeru, pihak kami akan melawat mangsa untuk memberikan sokongan serta melihat perkembangannya.

"Kami menyerahkan sepenuhnya kes ini kepada polis untuk siasatan lanjut. Pada masa sama, saya berharap siasatan dilakukan pihak polis akan membawa kepada penahanan pihak yang terbabit dalam kes ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 8:31 AM