X
APLIKASI MySejahtera. FOTO arkib NSTP
APLIKASI MySejahtera. FOTO arkib NSTP
Maiamalina Mohamed Amin dan Amir Abd Hamid


ISU pemilikan syarikat yang membangunkan aplikasi MySejahtera turut kecoh di Dewan Rakyat hari ini apabila dibangkitkan Ahli Parlimen Pandan (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail bahawa ia adalah syarikat pemilikan luar negara.

Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik mencelah apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof mendakwa syarikat itu adalah milik tempatan.

Maszlee sebaliknya berkata, syarikat KPISoft Inc adalah syarikat yang berdaftar di Amerika Syarikat (AS) dan berpusat di Singapura.

"Persoalan YB Pandan adalah signifikan bukan hanya kepada (aplikasi) MySejahtera tetapi MyFuturejob juga yg dilancarkan Perkeso guna syarikat Belanda.

"Begitu juga skim pendigitalan diberikan kepada syarikat luar negara yang guna duit pembayar cukai dan ini bukan satu perkara baharu.

"Ia juga sudah ditegur Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM). Persoalannya kenapa tidak diberikan kepada syarikat Melayu Islam yang membangunkan perisian digital?" katanya.

Persoalan itu dibalas Mohd Redzuan supaya membuka minda kerana tidak semestinya syarikat tertubuh di AS adalah syarikat negara itu.

"Syarikat KPISoft Malaysia adalah milik rakyat Malaysia. Beribu syarikat yang berdaftar di luar negara adalah hak milik Malaysia," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan Wan Azizah, Mohd Redzuan (Masjid Tanah) mengakui kerajaan menerima maklumat 80 peratus aduan terdapat ancaman serangan siber.

Menurutnya, buat masa ini kerajaan sedang membangunkan pelan induk digital sebagai platform digital untuk memastikan keselamatan siber.

"Platform untuk memastikan keselamatan siber boleh diaplikasi dalam ruang ini dan akan dilancarkan dalam tmpoh lima tahun.

"Serangan siber sentiasa dipantau dan disiasat Cybersecurity Malaysia serta agensi keselamatan lain untuk diambil tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 1:02 PM