X
Abdul Rahemang Taiming


EMPAT suspek ditahan dan 23 kilogram methamphetamine bernilai RM1.15 juta dirampas dalam tiga siri tindakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah pada 1 hingga 4 Julai lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, kes pertama pada 1 Julai membabitkan tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun yang tiba di Lapangan Terbang Tawau dengan pesawat komersial dari Kuala Lumpur, kira-kira 11.40 pagi.

Beliau berkata, suspek ditahan bersama bagasi mengandungi empat bungkusan teh Cina berisi dadah methamphetamine seberat 4.193 kilogram bernilai RM209,650.

"Susulan itu, hasil siasatan lanjut dan bantuan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Kastam, Kuala Lumpur seorang lagi suspek wanita berusia 49 tahun ditahan di Nilai, Negeri Sembilan pada Jumaat lalu (10 Julai)," katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Sementara itu katanya, kes kedua pada 2 Julai lalu, JKDM Sabah, menemukan satu beg plastik ditinggalkan di dalam tandas Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada jam 11.30 pagi.

ABDULLAH (tengah) menunjukkan bungkusan rampasan dadah methamphetamine yang dirampas. FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING
ABDULLAH (tengah) menunjukkan bungkusan rampasan dadah methamphetamine yang dirampas. FOTO ABDUL RAHEMANG TAIMING

"Pemeriksaan lanjut menemukan lapan bungkusan disyaki mengandungi dadah methamphetamine seberat lapan kilogram dengan nilai dianggarkan berjumlah RM400,000.

"Kes ketiga pada 4 Julai lalu JKDM Sabah merampas 11 kilogram dadah metamphetamine dianggarkan bernilai RM550,000 susulan penahanan dua lelaki tempatan pada jam 12.34 tengah malam," katanya.

Abdullah berkata, kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, sementara dua suspek akan dituduh di Mahkamah Tawau pada 9.00 pagi esok.

Dalam pada itu, JKDM Sabah juga berjaya merampas lima buah kontena masing-masing berisi minuman keras bernilai RM300,000 yang disyaki belum lulus kastam dengan jumlah nilai cukai sebanyak RM1.26 juta.

Kejayaan itu susulan operasi oleh pasukan penguatkuasaan yang dijalankan di beberapa lokasi antaranya di Inanam, Lok Kawi Industrial Estate dan kawasan Pelabuhan Sepanggar, dekat Kota Kinabalu pada 29 Jun dan 7 Julai lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Sehubungan itu katanya, orang ramai digesa supaya membantu pihak berkuasa dalam memerangi jenayah penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun dan dadah.

"Kegiatan penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil malah turut mendatangkan ancaman keselamatan dan Kesejahteraan rakyat," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 1:07 PM