GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

DUA rakan masing-masing dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini kerana memiliki harta curi iaitu dua telefon bimbit milik seorang lelaki warganegara Pakistan.

Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman itu ke atas Al Hafizshahkirin Kamalruzaman, 34, dan Nurfairoz Mansor, 42, selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap 12 April lalu.

Mereka didakwa bersama-sama mencuri dua telefon milik Babar Bashir, 36, yang mereka ada sebab untuk mempercayai bahawa harta itu adalah melalui perbuatan rompakan berkumpulan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah kedai serbaneka di Taman Sri Sinar, Sentul pada 5 petang, 2 April lalu mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri memohon hukuman setimpal mengambil kira kedua-dua tertuduh mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan kes jenayah lain, bagaimanapun Al Hafizshahkirin dan Nurfairoz yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana menanggung keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 3:01 PM