X
Syaherah Mustafa

Emel

SEBANYAK 13 'pangkalan haram' di sepanjang Sungai Golok yang menjadi kawasan hotspot pendatang asing tanpa izin (Pati) dipasang kawat duri (Concertina Wire) bagi mengekang pencerobohan dan aktiviti rentas sempadan.

Panglima 8 Briged, Briged Jeneral Zamsari Abu Hasan berkata, langkah itu membuktikan komitmen tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) melalui kerjasama National Task Force (NTF) bagi memutuskan rantaian Covid-19 yang berkemungkinan tersebar melalui Pati.

Katanya, pemasangan kawat duri dilaksanakan di tiga bahagian Ops Benteng Covid iaitu dua di sekitar Kuala Jambu, lima di Jeram Perdah, di Pasir Mas, dan enam lagi di Rantau Panjang yang mana kesemua lokasi menjadi tumpuan penyeludup serta pencerobohan Pati.

"Pemasangan kawat duri ini juga sebagai tanda amaran kepada semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya melintasi sempadan negara selain tindakan tegas diambil kepada sesiapa yang mengingkari arahan berkenaan.

"Setakat ini, Rantau Panjang sehingga ke Pengkalan Kubor menjadi hotspot jenayah rentas sempadan apabila merekodkan tangkapan Pati dan rampasan barang seludup yang tertinggi.

PASUKAN keselamatan negara memasang kawat duri di kawasan 'hotspot' Sungai Golok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PASUKAN keselamatan negara memasang kawat duri di kawasan 'hotspot' Sungai Golok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

"Jadi, kita berharap inisiatif pemasangan kawat duri ini mampu mengurangkan pelbagai kes di sepanjang sempadan.

"Kebanyakan Pati yang ditangkap adalah warga Thailand, Myanmar, Kemboja dan Laos," katanya dalam sidang media selepas melawat pemasangan Concertina Wira ATM dengan kerjasama Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA7) di Pengkalan Haram Pok Nik, Jeram Perdah, Pasir Mas, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi.

Zamsari berkata, beberapa siri kejayaan direkodkan sepanjang Ops Benteng dilaksanakan, yang mana 158 kes direkodkan membabitkan Pati dengan nilai rampasan barangan melebihi RM4juta.

"Kerjasama baik antara ATM dan PGA7 menunjukkan suatu pencapaian yang baik dalam menangani isu pencerobohan PATI di sempadan negara sekali gus dapat mengekang penularan wabak Covid-19.

"Saya turut berharap seluruh lapisan masyarakat terus memberi sokongan dengan menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan demi mencegah sebarang anasir yang boleh menggugat kedaulatan serta keselamatan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 3:18 PM