WILSON (dua dari kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. FOTO Ihsan KPDNHEP.
WILSON (dua dari kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. FOTO Ihsan KPDNHEP.
Nurul Hidayah Bahaudin


PENIAGA mengaku bersalah Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas tuduhan menjual sarung telefon bimbit tiruan.

Tertuduh, Wilson Ng, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Rofiah Mohamad.

Rofiah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM11,250.

Difahamkan, lelaki berkenaan membayar denda terbabit.

Terdahulu, sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat serbuan di premis jualan lelaki terbabit di Balakong, Kajang pada 3 Februari lalu.

Dalam serbuan itu, pihak KPDNHEP Kajang merampas 225 sarung telefon bimbit jenama Iphone tiruan bernilai RM5,625.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Daerah Kajang, Mohamad Sani Mohammad Nor berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga yang menjual barangan tiruan.

"Pihak KPDNHEP Kajang sentiasa membanteras kegiatan penjualan barangan tiruan oleh mana-mana individu.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penjualan barang tiruan diminta menyalurkan maklumat kepada kami melalui saluran disediakan untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 3:45 PM